
Akhirnya, sahlah khabar yang sudah lama bertiup kencang dalam kalangan warga Selatan selama ini.
Setelah 19 tahun menikmati cuti mingguan pada Sabtu dan Ahad sejak 1994, bermula tahun hadapan rakyat Johor akan mula bercuti pada Jumaat dan Sabtu.
Pengumuman diisytiharkan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Majlis Pengurniaan Pingat bersempena ulang tahun baginda ke-55 di Dewan Jubli Intan, Muar, hari ini.
Titah Sultan Ibrahim, “Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.
“Selepas selesai solat Jumaat mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa.
“Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014.”
Awal bulan lalu, berita bahawa Johor akan akan mengubah cuti mingguannya tersebar di laman siber namun ketika itu, Sultan Johor dikatakan masih belum memberikan perkenan baginda.
Cuti pada Jumaat dan Sabtu dipercayai diusulkan penasihat agama negeri, Dato’ Noh Gadut bagi menggalak dan memudahkan golongan lelaki menunaikan solat Jumaat.
Selain Johor, negeri di Malaysia yang menetapkan cuti mingguan pada hari Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Dalam pada itu, pengisytiharan ini mendapat respon berbeza daripada rakyat Johor tetapi rata-rata menyokong. Malah jika motif utamanya adalah memudahkan ibadah solat Jumaat maka ia dilihat sesuatu yang tepat dan wajar.
Begitu pun, ada juga yang berharap agar pelaksanaannya akan diikuti semua majikan termasuk swasta. – REM RAMZI



0 komentar:
Posting Komentar